Friday, November 8, 2013

PENGANGKUTAN BANDAR

Perihal mengenai isu keselesaan jalan raya di kawasan bandar bukanlah isu baharu. Untuk kesekian tahunnya, isu ini telah menjadi barah dalam kalangan warga bandar terutama di bandar-bandar besar. Jaringan jalan raya di Malaysia, misalnya, walaupun diiktiraf antara yang terbaik di Asia masih lagi belum mampu mengurangkan masalah keselesaan dan kesesakan yang berlaku di bandar. Bukan sahaja di negara ini, bahkan hampir kebanyakan negara di Asia mengalami masalah yang sama, misalnya seperti di Jakarta dan Bangkok. Kebergantungan warga bandar terhadap aspek pengangkutan terutama pengangkutan persendirian memperlihatkan pertambahan saban tahun. Hal ini menyebabkan berlakunya gangguan psikologi dan kesan lain terhadap alam sekitar dan sebagainya.

Kesesakan di Kuala Lumpur

Pengangkutan merupakan alat penghubung untuk penduduk sampai ke sesuatu tempat atau destinasi. Penyediaan infrastruktur pengangkutan, sebahagian besarnya adalah untuk kemudahan dan memenuhi permintaan daripada penggunan untuk bergerak, misalnya daripada rumah ke tempat kerja, pusat perkhidmatan, sekolah dan pasaraya. Kepelbagaian mod pengangkutan seperti komuter, bas, transit dan basikal memberikan lebih pilihan kepada pengguna dan penduduk bandar umumnya untuk memilih kaedah pengangkutan yang lebih selamat, selesa, cepat dan ekonomik. Bidang pengangkutan juga sebenarnya antara pemangkin untuk melonjakkan pembangunan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi sejajar dengan matlamat untuk meningkatkan pengeluaran barangan dan perkhidmatan untuk pembangunan masyarakat keseluruhannya.

Di Malaysia, kepelbagaian mod pengangkutan hanya dapat dinikmati di bandaraya Kuala Lumpur sahaja. Di sini, terdapat pelbagai mod pengangkutan yang memudahkan pergerakan penduduk seperti tren, bas awam, komuter dan lapangan terbang. Walaupun begitu, kebergantungan terhadap pengangkutan persendirian tetap masih tinggi. Ini menyebabkan perkhidmatan infrastruktur jalan raya tetap bertamabah disebabkan oleh permintaan yang tinggi dalam kalangan warga kota. Di bandar besar lain pula, misalnya di Johor Bahru dan Pulau Pinang, pilihan untuk mod pengangkutan adalah terhad. Kebergantungan untuk bergerak adalah terhad untuk beberapa jenis pengangkutan sahaja seperti bas, manakala selebihnya bergantung kepada pemilikan kenderaan persendirian seperti kereta dan motosikal. Ini menyebabkan masalah dan implikasi negatif  daripada segi penggunaan sumber seperti fosil yang menyebabkan masalah lain seperti pencemaran udara dan peningkatan suhu.

KTM di Malaysia

Bukti kebergantungan terhadap pengangkutan persendirian

Sistem pengangkutan yang ada di negara ini jika dibandingkan dengan negara lain seperti Jepun, US, Britain dan UK masih jauh ketinggalan di belakang. Ini kerana negara-negara tersebut sangat mementingkan pengangkutan untuk menggerakkan penduduk dan ekonominya. Antara kenderaan yang terdapat di sana ialah keretapi bandar yang terdapat di bawah dan di atas permukaan tanah, bas bandar, bas mini dan basikal. Jarang sekali kita mendengar isu masalah pengangkutan dan kesesakan berlaku di bandar-bandar dalam negara-negara tersebut. Berbanding di negara ini, melalui siaran radio sendiri kita kerap dikhabarkan dengan lalulintas yang sesak di bandar-bandar utama yang kita ada.

High speed train di Denmark

Masalah pengangkutan yang berlaku di negara ini tidak boleh terus dibiarkan. Masalah ini ibarat barah yang terus menular dalam pembangunan bandar sekiranya dibiarkan memandangkan ia akan mencacatkan dan membantutkan pergerakan penduduk dan ekonomi kita. Masalah kesesakan yang berlaku juga memberi kesan kepada psikologi dan persekitaran manusia. Kepelbagaian mod pengangkutan perlu ditambah melalui kajian komprehensif oleh golongan pemikir dan pakar. Sokongan dan bantuan daripada pihak lain juga seperti NGO dan agensi berkaitan dalam membantu mengatasi masalah kesesakan dan membangunkan bidang pengangkutan yang lebih baik dan efisien amat diperlukan dalam merealisasikan hasrat ini. Menambah bilangan dan jaringan jalanraya bukanlah pilihan dan opsyen terbaik dalam kita membangunakan negara kita. Sebaliknya sistem pengangkutan yang lebih jitu, bersepadu mantap dan pelbagai lebih baik untuk membantu menggerakkan ekonomi, penduduk dan meningkatkan kualiti persekitaran dan psikologi.

Membantu penduduk atau mensengsarakan penduduk??


*kredit kepada Haryati Shafii dan Sharifah Meryam Shareh Musa untuk rujukan artikel mereka bertajuk “ Pengangkutan Bandar: Isu Dan Penyelesaian”

No comments:

Post a Comment