Friday, November 8, 2013

PENGANGKUTAN BANDAR

Perihal mengenai isu keselesaan jalan raya di kawasan bandar bukanlah isu baharu. Untuk kesekian tahunnya, isu ini telah menjadi barah dalam kalangan warga bandar terutama di bandar-bandar besar. Jaringan jalan raya di Malaysia, misalnya, walaupun diiktiraf antara yang terbaik di Asia masih lagi belum mampu mengurangkan masalah keselesaan dan kesesakan yang berlaku di bandar. Bukan sahaja di negara ini, bahkan hampir kebanyakan negara di Asia mengalami masalah yang sama, misalnya seperti di Jakarta dan Bangkok. Kebergantungan warga bandar terhadap aspek pengangkutan terutama pengangkutan persendirian memperlihatkan pertambahan saban tahun. Hal ini menyebabkan berlakunya gangguan psikologi dan kesan lain terhadap alam sekitar dan sebagainya.

Kesesakan di Kuala Lumpur

Pengangkutan merupakan alat penghubung untuk penduduk sampai ke sesuatu tempat atau destinasi. Penyediaan infrastruktur pengangkutan, sebahagian besarnya adalah untuk kemudahan dan memenuhi permintaan daripada penggunan untuk bergerak, misalnya daripada rumah ke tempat kerja, pusat perkhidmatan, sekolah dan pasaraya. Kepelbagaian mod pengangkutan seperti komuter, bas, transit dan basikal memberikan lebih pilihan kepada pengguna dan penduduk bandar umumnya untuk memilih kaedah pengangkutan yang lebih selamat, selesa, cepat dan ekonomik. Bidang pengangkutan juga sebenarnya antara pemangkin untuk melonjakkan pembangunan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi sejajar dengan matlamat untuk meningkatkan pengeluaran barangan dan perkhidmatan untuk pembangunan masyarakat keseluruhannya.

Di Malaysia, kepelbagaian mod pengangkutan hanya dapat dinikmati di bandaraya Kuala Lumpur sahaja. Di sini, terdapat pelbagai mod pengangkutan yang memudahkan pergerakan penduduk seperti tren, bas awam, komuter dan lapangan terbang. Walaupun begitu, kebergantungan terhadap pengangkutan persendirian tetap masih tinggi. Ini menyebabkan perkhidmatan infrastruktur jalan raya tetap bertamabah disebabkan oleh permintaan yang tinggi dalam kalangan warga kota. Di bandar besar lain pula, misalnya di Johor Bahru dan Pulau Pinang, pilihan untuk mod pengangkutan adalah terhad. Kebergantungan untuk bergerak adalah terhad untuk beberapa jenis pengangkutan sahaja seperti bas, manakala selebihnya bergantung kepada pemilikan kenderaan persendirian seperti kereta dan motosikal. Ini menyebabkan masalah dan implikasi negatif  daripada segi penggunaan sumber seperti fosil yang menyebabkan masalah lain seperti pencemaran udara dan peningkatan suhu.

KTM di Malaysia

Bukti kebergantungan terhadap pengangkutan persendirian

Sistem pengangkutan yang ada di negara ini jika dibandingkan dengan negara lain seperti Jepun, US, Britain dan UK masih jauh ketinggalan di belakang. Ini kerana negara-negara tersebut sangat mementingkan pengangkutan untuk menggerakkan penduduk dan ekonominya. Antara kenderaan yang terdapat di sana ialah keretapi bandar yang terdapat di bawah dan di atas permukaan tanah, bas bandar, bas mini dan basikal. Jarang sekali kita mendengar isu masalah pengangkutan dan kesesakan berlaku di bandar-bandar dalam negara-negara tersebut. Berbanding di negara ini, melalui siaran radio sendiri kita kerap dikhabarkan dengan lalulintas yang sesak di bandar-bandar utama yang kita ada.

High speed train di Denmark

Masalah pengangkutan yang berlaku di negara ini tidak boleh terus dibiarkan. Masalah ini ibarat barah yang terus menular dalam pembangunan bandar sekiranya dibiarkan memandangkan ia akan mencacatkan dan membantutkan pergerakan penduduk dan ekonomi kita. Masalah kesesakan yang berlaku juga memberi kesan kepada psikologi dan persekitaran manusia. Kepelbagaian mod pengangkutan perlu ditambah melalui kajian komprehensif oleh golongan pemikir dan pakar. Sokongan dan bantuan daripada pihak lain juga seperti NGO dan agensi berkaitan dalam membantu mengatasi masalah kesesakan dan membangunkan bidang pengangkutan yang lebih baik dan efisien amat diperlukan dalam merealisasikan hasrat ini. Menambah bilangan dan jaringan jalanraya bukanlah pilihan dan opsyen terbaik dalam kita membangunakan negara kita. Sebaliknya sistem pengangkutan yang lebih jitu, bersepadu mantap dan pelbagai lebih baik untuk membantu menggerakkan ekonomi, penduduk dan meningkatkan kualiti persekitaran dan psikologi.

Membantu penduduk atau mensengsarakan penduduk??


*kredit kepada Haryati Shafii dan Sharifah Meryam Shareh Musa untuk rujukan artikel mereka bertajuk “ Pengangkutan Bandar: Isu Dan Penyelesaian”

Thursday, November 7, 2013

PEMANASAN GLOBAL (Part 2: Kesan Pemanasan global)

Pemanasan global merupakan isu sejagat yang semakin dominan dalam dunia hari ini. Tahap perbandaran yang berlaku semakin rancak di mana kebergantungan kepada sumber (resources) semakin bertambah. Kesannya, pelbagai masalah timbul yang membawa kepada isu pemanasan global. Bidang perindustrian, pertanian dan pengangkutan menyaksikan antara tiga bidang utama yang mendorong kepada pemanasan global disebabkan oleh pembebasan tenaga dan gas yang berlebihan.

Pemanasan global yang berlaku hari ini telah menyebabkan litupan salji dan glasier di kawasan pergununangan di kutub utara dan selatan bumi menipis. Penipisan kawasan glasier ini telah menyebabkan paras air laut di dunia telah meningkat. Pada tahun 2050, dijangkakan paras air laut di Pulau Pinang meningkat sebanyak 3 kaki daripada paras sedia ada. Selain itu, risiko bandar-bandar lain di dunia seperti Fiji dan Maldives untuk ditenggelami air semakin tinggi memandangkan kedua-dua negara ini berada pada paras yang rendah.

Pencairan ais di lautan Artik

Perubahan pandang darat terhadap litupan ais

Antara negara lain yang berada di ketinggian yang rendah ialah seperti Belanda dan Bangladesh. Bayangkan sekiranya negara-negara tersebut ditenggelami air, bagaimana pula dengan nasib penduduknya? Itu belum lagi melibatkan bencana seperti banjir yang berlaku disebabkan oleh penipisan kawasan litupan ais tersebut. Kesannya kepada manusia, pelbagai aspek seperti harta benda bahkan nyawa menjadi taruhan sekiranya keadaan ini berlarutan. Bekalan makanan seperti daripada tanah-tanah pertanian juga bakal musnah seterusnya mengakibatkan kepada krisis makanan.

Peningkatan suhu global juga menyaksikan kepada kita kesannya kepada bidang pertanian. Hal ini dapat dilihat dalam pertukaran keadaan tanih daripada subur kepada kering kontang. Kita sedia maklum bahawa hampir kebanyakan tanaman memerlukan tanah yang subur untuk hidup namun, bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya keadaan tanah menjadi kering dan tandus. Pertanian tidak akan dapat dijalankan dengan baik kerana ketiadaan tanah yang subur untuk aktiviti pertanian. Bahkan ternakan dan haiwan juga akan mengalami gangguan daripada rantaian pemakan yang terganggu. Hasilnya, bidang pertanian tidak akan dapat memberikan hasil dan pulangan serta mengurangkan produktiviti bidang pertanian. Sedangkan perubahan kecil, misalnya taburan hujan yang tidak mencukupi mampu menjejaskan tanaman, bayangkan sekiranya suhu global sendiri meningkat.

Produk pertanian yang tidak menjadi

Peningkatan suhu global juga menunjukkan kepada kita bahawa permukaan bumi menjadi semakin kering dan panas. Proses alam seperti sejatan juga akan terganggu dalam membentuk awan bagi menurunkan hujan. Apablia proses ini terganggu, udara juga menjadi kering dan persekitaran menjadi lebih panas. Apabila keadaan ini berlaku, kesan lain pula timbul seperti jerebu disebabkan oleh pertikel-partikel terampai. Selain itu, kegiatan pembakaran hutan dan kawasaan pertanian misalnya seperti yang berlaku di Sumatera juga turut menyumbang kepada masalah jerebu. Akibat jerebu berlaku, kualiti udara menurun manakala indeks pencemaran udara (IPU) meningkat. Jerebu berbahaya kepada manusia terutama kepada mereka yang menghidap masalah pernafasan.
 
Bumi menjadi semakin panas


*Kredit kepada Azahari atas penulisan beliau yang boleh dilayari di http://my-work-global-warming.blogspot.com
*Gambar-gambar pula diperoleh dari sesawang google image