Perihal mengenai isu keselesaan jalan raya di kawasan bandar
bukanlah isu baharu. Untuk kesekian tahunnya, isu ini telah menjadi barah dalam
kalangan warga bandar terutama di bandar-bandar besar. Jaringan jalan raya di
Malaysia, misalnya, walaupun diiktiraf antara yang terbaik di Asia masih lagi
belum mampu mengurangkan masalah keselesaan dan kesesakan yang berlaku di
bandar. Bukan sahaja di negara ini, bahkan hampir kebanyakan negara di Asia
mengalami masalah yang sama, misalnya seperti di Jakarta dan Bangkok.
Kebergantungan warga bandar terhadap aspek pengangkutan terutama pengangkutan
persendirian memperlihatkan pertambahan saban tahun. Hal ini menyebabkan
berlakunya gangguan psikologi dan kesan lain terhadap alam sekitar dan sebagainya.
Kesesakan di Kuala Lumpur
Pengangkutan merupakan alat penghubung untuk penduduk sampai
ke sesuatu tempat atau destinasi. Penyediaan infrastruktur pengangkutan,
sebahagian besarnya adalah untuk kemudahan dan memenuhi permintaan daripada
penggunan untuk bergerak, misalnya daripada rumah ke tempat kerja, pusat
perkhidmatan, sekolah dan pasaraya. Kepelbagaian mod pengangkutan seperti
komuter, bas, transit dan basikal memberikan lebih pilihan kepada pengguna dan
penduduk bandar umumnya untuk memilih kaedah pengangkutan yang lebih selamat,
selesa, cepat dan ekonomik. Bidang pengangkutan juga sebenarnya antara
pemangkin untuk melonjakkan pembangunan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi
sejajar dengan matlamat untuk meningkatkan pengeluaran barangan dan
perkhidmatan untuk pembangunan masyarakat keseluruhannya.
Di Malaysia, kepelbagaian mod pengangkutan hanya dapat
dinikmati di bandaraya Kuala Lumpur sahaja. Di sini, terdapat pelbagai mod
pengangkutan yang memudahkan pergerakan penduduk seperti tren, bas awam,
komuter dan lapangan terbang. Walaupun begitu, kebergantungan terhadap
pengangkutan persendirian tetap masih tinggi. Ini menyebabkan perkhidmatan
infrastruktur jalan raya tetap bertamabah disebabkan oleh permintaan yang
tinggi dalam kalangan warga kota. Di bandar besar lain pula, misalnya di Johor
Bahru dan Pulau Pinang, pilihan untuk mod pengangkutan adalah terhad.
Kebergantungan untuk bergerak adalah terhad untuk beberapa jenis pengangkutan
sahaja seperti bas, manakala selebihnya bergantung kepada pemilikan kenderaan
persendirian seperti kereta dan motosikal. Ini menyebabkan masalah dan
implikasi negatif daripada segi
penggunaan sumber seperti fosil yang menyebabkan masalah lain seperti
pencemaran udara dan peningkatan suhu.
KTM di Malaysia
Bukti kebergantungan terhadap pengangkutan persendirian
Sistem pengangkutan yang ada di negara ini jika dibandingkan
dengan negara lain seperti Jepun, US, Britain dan UK masih jauh ketinggalan di
belakang. Ini kerana negara-negara tersebut sangat mementingkan pengangkutan
untuk menggerakkan penduduk dan ekonominya. Antara kenderaan yang terdapat di
sana ialah keretapi bandar yang terdapat di bawah dan di atas permukaan tanah,
bas bandar, bas mini dan basikal. Jarang sekali kita mendengar isu masalah
pengangkutan dan kesesakan berlaku di bandar-bandar dalam negara-negara
tersebut. Berbanding di negara ini, melalui siaran radio sendiri kita kerap
dikhabarkan dengan lalulintas yang sesak di bandar-bandar utama yang kita ada.
High speed train di Denmark
Masalah pengangkutan yang berlaku di negara ini tidak boleh
terus dibiarkan. Masalah ini ibarat barah yang terus menular dalam pembangunan
bandar sekiranya dibiarkan memandangkan ia akan mencacatkan dan membantutkan
pergerakan penduduk dan ekonomi kita. Masalah kesesakan yang berlaku juga
memberi kesan kepada psikologi dan persekitaran manusia. Kepelbagaian mod
pengangkutan perlu ditambah melalui kajian komprehensif oleh golongan pemikir
dan pakar. Sokongan dan bantuan daripada pihak lain juga seperti NGO dan agensi
berkaitan dalam membantu mengatasi masalah kesesakan dan membangunkan bidang
pengangkutan yang lebih baik dan efisien amat diperlukan dalam merealisasikan
hasrat ini. Menambah bilangan dan jaringan jalanraya bukanlah pilihan dan
opsyen terbaik dalam kita membangunakan negara kita. Sebaliknya sistem
pengangkutan yang lebih jitu, bersepadu mantap dan pelbagai lebih baik untuk
membantu menggerakkan ekonomi, penduduk dan meningkatkan kualiti persekitaran
dan psikologi.
*kredit kepada Haryati Shafii dan Sharifah Meryam Shareh
Musa untuk rujukan artikel mereka bertajuk “ Pengangkutan Bandar: Isu Dan Penyelesaian”